logo mainpp

Perutusan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izin serta petunjukNya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kini telah berusia 59 tahun.  Laman web rasmi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang dinamik merupakan satu penanda aras yang MAINPP kini bergerak pantas selaras dengan peredaran arus teknologi.

Dengan perkembangan pesat teknologi maklumat komunikasi, ini menunjukkan bahawa komunikasi merupakan elemen penting bagi meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi. Justeru, MAINPP turut mengorak langkah dengan mewujudkan aplikasi mudah alih yang dinamakan myMAINPP.  Istimewanya perkhidmatan ini dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman tanpa melibatkan sebarang kos.

Aplikasi ini menyediakan kemudahan kepada orang awam untuk menyemak dan mencetak penyata sumbangan dana wakaf yang dibuat sama ada secara atas talian atau melalui potongan gaji. Selain itu, pengguna dapat menyemak senarai hartanah MAINPP yang sedia untuk dibenarkan.  Bagi penyewa-penyewa premis MAINPP pula, myMAINPP memberikan kemudahan untuk menyemak akaun penyewaan. Selain itu, penyewa juga boleh mengemukakan aduan bergambar secara terus melalui aplikasi ini tanpa perlu menulis surat aduan.

Laman web rasmi ini merupakan satu saluran penyebaran maklumat secara elektronik yang boleh diakses secara cepat, mudah dan telus. Melalui laman web ini juga MAINPP menyediakan pelbagai perkhidmatan atas talian (online) bagi mencapai visi iaitu menjadi menjadi sebuah institusi yang unggul berteraskan konsep muamalah Islam demi kesejahteraan ummah.

Akhir kata, sekalung tahniah kepada seluruh warga kerja MAINPP atas komitmen dan sumbangan tenaga yang tidak berbelah bahagi terhadap laman web rasmi ini dan saya selaku Yang Dipertua mengucapkan Selamat Datang kepada mereka yang melayari laman web rasmi kami. Kami juga mengalu-alukan maklum balas yang membina dari semua pihak bagi membantu kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab sekaligus memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik bagi manfaat kita bersama.

Sekian, wassalam.

YBhg. Dato'  Haji Abdul Malik bin Abul Kassim,
Yang Dipertua
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang