logo mainpp

Sejarah Penubuhan

Sebelum penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai, iaitu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan, telah ada terbentuk dengan apa yang dipanggil Lembaga Penasihat Ugama Islam. Lembaga ini adalah bertugas sebagai penasihat dan bertanggungjawab mengenai hal ehwal Agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang. Antara tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Lembaga ini adalah untuk mengkaji dan mengesyorkan supaya suatu badan yang bertanggungjawab sepenuhnya mengenai hal ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Dalam tahun 1955 satu Jawatankuasa telah dilantik oleh Kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengkaji penubuhan Majlis Agama Islam. Usaha-usaha ke arah ini berjalan agak perlahan sedikit. Ini adalah memandangkan kepada beberapa pergolakan yang timbul dalam negara ini dalam usaha-usaha ke arah mencapai kemerdekaan. Dalam tahun 1957, setelah negara mencapai kemerdekaan, satu Jawatankuasa Khas telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Jawatankuasa khas ini telah mengkaji dari semua aspek dalam usaha ke arah penubuhan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai, akhirnya JawatankuasaKhas ini telah bersetuju dan mengesyorkan supaya diadakan Undang-Undang untuk membolehkan penubuhan Majlis Agama Islam, Pulau Pinang dan Seberang Perai. Dengan usaha yang gigih ahli-ahli Jawatankuasa Khas ini serta dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, akhirnya pada 15hb. April 1959, satu Undang-Undang bagi membolehkan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Undang-undang ini telah dinamakan Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam Tahun 1959(Undang-Undang No. 3 Tahun 1959).

Setelah Undang-Undang ini diluluskan, pada 1hb Januari 1960, ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kedua, Almarhum Tuanku Hishammuddin Alam Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah telah memperkenankan perlantikan Yang di Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai yang pertama iaitu Allahyarham Tuan Haji G.M. Yusoff, Allahyarham Tuan Haji Abdullah bin Haji Ibrahim sebagai Mufti pertama dan Tuan Haji Ali Rouse sebagai Setiausaha yang pertama. Ahli-ahli Majlis Ugama Islam yang pertama dilantik adalah terdiri daripada 2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri yang beragama Islam dan 15 orang ahli terdiri dari tokoh-tokoh ulamak dan pemimpin tempatan. Nama-nama mereka adalah seperti berikut:-

NAMA AHLI-AHLI MAJLIS AGAMA ISLAM PULAU PINANG YANG PERTAMA.
DILANTIK OLEH KE BAWAH DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
PADA 1 HB. JANUARI 1960

 

1. TUAN HAJI G.M YUSOFF (YANG DI PERTUA) Pengerusi
2. TUAN HAJI ABDULLAH BIN HAJI IBRAHIM (MUFTI) Ahli
3. Y.B. ENCIK C.D. ISMAIL, A.M.N Ahli
4. Y.B. TUAN HAJI MOHD. HASSAN BIN HJ. KASSIM Ahli
5. TUAN HAJI ABDULLAH BIN HAJI DAHLAN Ahli
6. TUAN HAJI MANSOOR BIN HAJI HASSAN, JP Ahli
7. Y.B. TUAN HAJI AHMAD BIN HAJI ABDULLAH, AMN Ahli
8. TUAN HAJI AHMAD MALIKI, JMN Ahli
9. TUAN HAJI ABDULAH BIN CHE TEH Ahli
10. TUAN HAJI AHMAD BIN TUAN HAJI HUSSAIN Ahli
11. TUAN HAJI ABDUL KADER BIN HJ HASSAN, JP Ahli
12. TUAN HAJI SAAID BIN SHEIKH DAUD Ahli
13. TUAN SYED AHMAD AL-MASHOOR Ahli
14. TUAN CAPT. MOHD. NOOR BIN MOHAMAD ED., JP Ahli
15. TUAN HAJI K.S. MOHD ISMAIL Ahli
16. TUAN HAJI MOHD. TAMIN BIN SUTAN DEMAN Ahli
17. TUAN HAJI S.M. AIDID, JP Ahli
18. TUAN SHEIKH ALI BALADRAM Ahli
19. TUAN DR. KAMIL M.ARIFF AL HAJ, JP Ahli
20. TUAN HAJI ALI ROUSE Setiausaha