Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bersama-sama beberapa agensi dan jabatan negeri telah menyertai Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang. Antara agensi yang mengambil bahagian adalah Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP), Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Program ini bermula dengan pendaftaran kontinjen-kontinjen di SP Arena dan seterusnya bergerak sejauh lebih kurang 500 meter ke Masjid Jamek Seberang Jaya sambil berselawat ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W.
Sambutan pada kali ini dimuatkan dengan pengisian menarik antaranya sesi tazkirah Dhuha, solat Dhuha dan Forum Perdana Maulidur Rasul yang menampilkan dua panel iaitu Ustaz Don Danial Don Biyajid, Pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia dan Dr. Ahmad Bashir Abd. Aziz, pensyarah Universiti Utara Malaysia.
Majlis ini dirasmikan oleh T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji ABBAS, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Turut hadir bersama YB. Dato’ Haji Mohd Rashid Bin Hasnon,Timbalan Ketua Menteri 1 dan YB. Dato’ Haji Abdul Malik Bin Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.
Turut disampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Tokoh Maulidur Rasul dan Anugerah Qudwatur Rasul.