PT Sans | Reset
A A

HARI WAKAF PULAU PINANG 2016

17 Jun 2016 - Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang berbesar hati menyempurnakan “HARI WAKAF PULAU PINANG 2016'' di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang.  Majlis yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato' Haji Mohd. Rashid Bin Hasnon, Timbalan Ketua Menteri 1 Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Seri Farizan Bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Abdul Malik Bin Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Yang Berhormat Dato’ Mokhtar Bin Mohd Jait, Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato' Dr. Haji Wan Salim Bin Wan Mohd. Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Haji Mohd Salleh Bin Man, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, dan Yang Berbahagia Dato' Haji Sazali Bin Haji Hussein, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Program ini merupakan acara tahunan wakaf untuk mengenang jasa pewakaf serta menterjemahkan peranan MAINPP sebagai pemegang amanah harta wakaf di negeri ini.  Program sumbangan wakaf ini juga dianjurkan sebagai salah satu kerangka tindakan MAINPP bagi memupuk kesedaran yang tinggi terhadap amalan berwakaf yang memberi impak besar kepada pembangunan nilai insan seperti berikut:

  • Mengembalikan institusi wakaf dalam masyarakat yang akan menjadi asas panduan ke arah memupuk rasa kasih sayang untuk menjayakan misi Islam.

  • Amalan wakaf dapat mendidik jiwa manusia untuk melakukan pengorbanan dan bersikap prihatin terhadap kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan orang lain.

  • Amalan berwakaf merupakan suatu amalan yang diberi ganjaran yang berterusan (berkekalan)

Pada tahun 2015 MAINPP telah berjaya menjana hasil wakaf berjumlah RM4.37 juta hasil pengurusan harta-harta wakaf di seluruh negeri Pulau Pinang. Agihan sumbangan hasil wakaf dibuat berdasarkan amanah wakaf khas, wakaf am dan wakaf keluarga yang merangkumi penyaluran sumbangan untuk masjid-masjid, program dakwah, pendidikan, bantuan fakir miskin yang semuanya adalah bagi maksud melaksanakan program kebajikan untuk umat Islam di negeri ini sekaligus menunaikan amanah pewakaf.

Program sumbangan hasil wakaf ini dibuat pada dua peringkat iaitu yang pertama pada petang ini dan yang kedua pada akhir tahun nanti. Bagi program pada petang ini, 93 penerima sumbangan telah disenaraikan yang terdiri daripada 49 buah masjid, 17 buah surau, 19 institusi pendidikan agama dan 8 NGO Islam, melibatkan keseluruhan pengagihan berjumlah RM1.097 juta. Manakala sumbangan peringkat kedua akan melibatkan pengagihan sumbangan kepada golongan fakir miskin dan pihak-pihak yang memerlukan bantuan yang berjumlah RM1.446 juta .

Pihak MAINPP telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah wakaf. Selain sumbangan yang boleh dibuat secara terus di MAINPP, kemudahan sumbangan melalui potongan gaji turut disediakan. Malah kemudahan sumbangan secara atas talian boleh dilakukan melalui laman sesawang www.danawakaf.com. Penyumbang akan menerima kupon atau resit sumbangan wakaf yang melayakkan mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang (LHDN).

 

 H  A
 B  C
 D  E
 F  J
 G  K
 I  

 

 

offcanvas