Hari Wakaf Pulau Pinang 2019

 

Alhamdulillah... Hari Wakaf Pulau Pinang 2019 telah berlangsung dengan jayanya pada 17 Mei 2019 bersamaan 12 Ramadan 1440H bertempat di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, SPU Pulau Pinang.   

Program ini yang diadakan dalam bulan Ramadan setiap tahun merupakan acara tahunan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk mengenang jasa pewakaf serta menterjemahkan peranan MAINPP sebagai pemegang amanah harta wakaf di negeri ini.  

Pada tahun 2018, keseluruhan pendapatan hasil wakaf yang telah berjaya dijana oleh MAINPP adalah sebanyak RM3.3 juta dan hasil wakaf tersebut akan diagihkan berdasarkan kepada amanah wakaf khas, wakaf am dan wakaf keluarga. Sumbangan ini merangkumi pemberian kepada 20 buah masjid, 6 buah surau, 30 buah institusi pendidikan dan 7 badan bukan kerajaan yang melibatkan keseluruhan pengagihan pada petang ini berjumlah RM955,940.00. Para penerima yang terpilih adalah berdasarkan kepada amanah pewakaf yang termaktub.

Pihak MAINPP sentiasa berusaha untuk memudahkan amalan berwakaf untuk umat Islam.  Selain sumbangan yang boleh dibuat secara terus kepada MAINPP, sumbangan melalui potongan gaji dan secara atas talian boleh dilakukan melalui laman sesawang www.danawakaf.com.  Satu lagi kaedah baru sumbangan diperkenalkan iaitu melalui penggunaan Aplikasi Mudah Alih Snap 'N” Pay Dana Wakaf Pulau Pinang yang boleh diakses melalui telefon mudah alih.  

Pada ari berkenaan juga diadakan pelancaran Tabung Wakaf Sumbangan Masjid yang bertujuan untuk mengumpul dana wakaf melalui kutipan tabung di masjid-masjid seluruh negeri Pulau Pinang pada hari Jumaat untuk membiayai projek pembelian hartanah bagi kepentingan Islam di negeri ini.  Kaedah ini juga merupakan satu cara untuk mewujudkan jaringan dana kewangan umat Islam melalui institusi masjid sekaligus melibatkan masjid sebagai tunggak pembangunan ekonomi umat Islam sekaligus meninggikan syiar Islam melalui pembinaan entiti masjid madani di negeri ini.

MAINPP ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang hadir ke program ini serta dif-dif kehormat dan para jemputan yang lain yang hadir memeriahkan lagi program ini.  Tidak lupa juga kepada agensi-agensi yang terlibat dalam membantu dan memberi sokongan padu kepada pihak MAINPP sehingga terlaksananya program Hari Wakaf ini.

 

 pic9  pic16
 pic12  pic13
 pic10  pic8
 pic9  pic15
 pic14  pic33
 pic1  pic22
   
   

Cetak