Filters

Pada 28 Julai 2011 yang lalu, Bahagian Pembangunan Dan Pelaburan MAINPP telah melakukan lawatan rasmi ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Tujuan utama lawatan ini adalah bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hartanah dan penyelenggaraan bangunan. Lawatan ini diketuai oleh Pengurus Baitulmal MAINPP, Encik Nazmi bin Shukor dan diiringi Tuan Haji Anuar Bin Ahmad, Ketua Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAINPP serta beberapa kakitangan Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAINPP. Turut serta dalam lawatan tersebut adalah beberapa orang wakil daripada UDA Land North Sdn. Bhd.

Delegasi lawatan turut berkunjung ke KPJ Healthcare Berhad yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Lawatan ini adalah untuk mengadakan perbincangan dua hala mengenai pelan pembangunan bagi pembinaan Klinik Waqaf An-Nur oleh pihak KPJ Healthcare Berhad.

Pada 22 September 2011 yang lalu, Bahagian Pembangunan Dan Pelaburan MAINPP telah melakukan lawatan rasmi ke Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa, Negeri Selangor Darul Ehsan. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan mengenai garis panduan dan piawaian perancangan bagi surau, masjid dan kawasan perkuburan. Lawatan ini diketuai oleh Pengurus Baitulmal MAINPP, Encik Nazmi bin Abd. Shukor serta diiringi Tuan Haji Anuar Bin Ahmad, Ketua Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAINPP dan beberapa orang kakitangan Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAINPP. Manakala wakil dari Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor Darul Ehsan terdiri daripada Penolong Pengarah, Norasiah Bee Binti Mohd. Haniff, dan beberapa orang kakitangan jabatan tersebut.

Seramai enam orang anggota MAINPP telah menghadiri Kursus Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Personel Binaan bagi melayakkan pemilikan Kad Hijau yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kursus sehari anjuran Assertive Options Sdn. Bhd. yang diadakan pada 14 Mei 2011 di Kompleks Bagan, Butterworth ini memuatkan ceramah berhubung keselamatan pekerjaan di tapak pembinaan, cara-cara penggunaan mesin/jentera dan akibat ketidakpatuhan kepada tatacara penggunaan alatan/mesin di tempat kerja yang mengakibatkan kecederaan malah kematian.

MAINPP mengambil inisiatif untuk menghantar pegawai dan kakitangan menghadiri kursus ini kerana bidang kerja yang memerlukan lawatan ke tapak-tapak pembinaan di bawah seliaan MAINPP. Dengan adanya Kad Hijau, pemilik kad ini dilindungi dengan perlindungan di bawah Pelan Takaful Personel Binaan Berkelompok CIDB sekiranya berlaku apa-apa musibah yang melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Seluruh warga kerja Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ingin merakamkan  setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas penganugerahan pingat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena sambutan Hari Keputeraan kepada :

Yang  di Pertua  MAINPP :  Tuan Hj Ellias Bin Haji Zakaria – AHLI MANGKU NEGARA (A.M.N)

Setiausaha MAINPP:  Tuan Hj Sazali Bin Haji Hussein – JOHAN SETIA MAHKOTA (J.S.M)

Kakitangan MAINPP:  Haji Abdul Wahab bin SK Meera  - PINGAT PANGKUAN NEGARA (P.P.N)

Tanggal 22 Rejab 1432H bersamaan 24 Jun 2011 bertempat di Balik Pulau, telah berlangsungnya Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Maahad Al- Mashoor Al Islami yang telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat hadir ke majlis ini.

Majlis yang bermula jam 3.00 petang ini turut dihadiri oleh dif – dif kenamaan yang terdiri daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Senator Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Tuan Hj Ellias Bin Haji Zakaria.

 Kira-kira 1,500 tetamu jemputan yang terdiri ketua jabatan – jabatan persekutuan dan negeri serta penduduk setempat turut hadir bagi memeriahkan majlis dan mengambil peluang untuk bertemu dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Seluruh warga kerja MAINPP merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan hadir Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis perasmian ini serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis perasmian Maahad Al- Mashoor Al-Islami ini.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 4 Ogos 2011 yang lalu telah menerima kunjungan dari beberapa pelajar dari jurusan Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah iaitu seramai 13 pelajar dan diiringi pensyarah Encik Franklin Hazley Lai.

Kunjungan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan berkenaan dengan pengurusan tanah-tanah wakaf di seluruh negeri Pulau Pinang dan pembangunan yang telah dijalankan. Taklimat ringkas ini disampaikan oleh Ketua Bahagian Pembangunan dan Pelaburan MAINPP, Tuan Haji Anuar bin Ahmad dan Tuan Haji Kamal bin Said, Penolong Pegawai Tadbir, Bahagian Wakaf.

Bertempat di Suria Service Apartment, Bukit Merah, Perak Darul Ridzuan  baru-baru ini telah berlangsungnya program Management Retreat anjuran Bahagian Pentadbiran dan Kewangan dengan kerjasama Badan Kebajikan Anggota MAINPP (BKAM).

Program yang berlangsung selama dua hari iaitu  pada 16 dan 17 Julai 2011 ini turut diserikan dengan kehadiran Yang di Pertua MAINPP, Tuan Haji Ellias bin Haji Zakaria, Setiausaha MAINPP, Tuan Haji Sazali Bin Haji Hussein serta Pengurus Baitulmal, Encik Nazmi bin Abd. Shukor bersama keluarga masing-masing.

Program ini dimuatkan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohd Hapiz Mahaiyadin, Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam dari Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang.  Dengan ceramah yang bertajuk Integriti Dan  Kaitannya Dengan Kekeluargaan. Program ini turut diisi dengan aktiviti riadah yang melibatkan warga kerja MAINPP serta program santai yang lain yang melibatkan ahli keluarga.

Turut diadakan, Majlis Makan Malam Dan Majlis Perpisahan Sempena Persaraan Tuan Haji Abd. Wahab bin S.K. Syed Meera P.J.N, P.P.N. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Isfahafis Ismail dan diikuti dengan ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi BKAM, Encik Shahril Bin Shahrom, Setiausaha MAINPP dan Yang di-Pertua MAINPP.

Sebagai menghargai jasa-jasa Tuan Haji Abd. Wahab bin S.K. Syed Meera sepanjang perkhidmatannya, sebuah persembahan multimedia khas yang memaparkan latar belakang Tuan Haji Abd. Wahab bin S.K. Syed Meera dan sejarah beliau selama berkhidmat di MAINPP telah ditayangkan.

Di dalam majlis ini, acara penganugerahan Sijil Pekhidmatan Cemerlang kakitangan MAINPP pada tahun ini telah diadakan.  Seramai empat orang warga MAINPP telah terpilih iaitu, Encik Mohd Said bin Ahmad, Puan Faridah binti Ariffin, Puan Zuraida binti Aman dan Encik Md.Isa bin Ishak.  Majlis diakhiri dengan acara cabutan bertuah yang dimenangi oleh akauntan, Encik Mohd Fadzli Bin Wahab, oleh Haji Anuar Bin Ahmad dan Encik Kamaludin Bin Darus.  Hari kedua progam telah diisi dengan kuliah Subuh yang disampaikan oleh Haji Anuar Bin Ahmad dengan tajuk pengalaman beliau,pengalaman mengerjakan Haji dan Umrah.

Pada 7 April 2011 (Khamis) bersamaan 3 Jamadilawwal 1432H, TYT Tun Dato’ Seri Utama (DR.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah meluangkan masa ke tapak projek pembinaan Masjid Abdullah Fahim, Bandar Bertam Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Masjid yang bernilai RM25.3 juta dan boleh memuatkan seramai 5,600 jemaah pada sesuatu masa merupakan cetusan idea TYT Tun dan telah direalisasikan pembinaanya oleh pihak ICU JPM.

Satu taklimat khas berkaitan pembinaan projek ini telah sampaikan kepada TYT Tun. Masjid ini telah mula dibina pada Jun 2009 dan dijangka siap pada November 2011. Turut hadir pada lawatan tersebut, yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Tuan Hj Ellias Hj Zakaria, Pengurus Projek Bahagian Pembangunan dan Pelaburan, Haji Anuar Bin Ahmad turut serta dalam lawatan tersebut Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Tuan Nik Ali bin Mat Yunus, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Ir. Haji Ahmad Latif Bin Haji Abdul Hamid, Pegawai JKR dan juga wakil dari pihak pemaju.

Kakitangan MAINPP telah mengadakan lawatan ke Bahagian Wakaf, MAIJ pada 30 Januari 2013.