Sesi Penyerahan Sijil Wakaf Kepada Puan Zainab binti Haji Ahmad

Pada 12 Disember 2025, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah mengadakan satu sesi penyerahan sijil wakaf kepada Puan Zainab binti Haji Ahmad sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau mewakafkan sebidang tanah seluas 0.6 ekar di Lot 751, Mukim 16, Seberang Perai Utara.
 
Tanah tersebut diwakafkan untuk kegunaan perkuburan Masjid Jamek Nurul Hidayah Sungai Lokan. Tanah yang diwakafkan ini telah digunakan sejak sekian lama sebagai kawasan perkuburan berdasarkan kepada perwakafan secara lisan, namun pemilikan masih atas nama individu.
 
MAINPP melalui Unit Pentadbiran Tanah telah menguruskan proses penukaran hak milik kepada pemilikan rasmi MAINPP sebagai tanah wakaf. Penukaran ini dilakukan berdasarkan kepada penggunaan sedia ada iaitu sebahagian daripada Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Nurul Hidayah Sungai Lokan.
 
Sesi penyerahan sijil wakaf telah disempurnakan oleh Tuan Abu Mansur Maturidi Bin Mohd Romli, Pengurus Baitulmal dengan kehadiran Encik Shahril bin Shahrom, Ketua Unit Pentadbiran Tanah MAINPP, Encik Muhammad Amir Firdaus Bin Mohd Puat, Pembantu Tadbir dan Puan Noor Diana binti Noorazis, Penolong Pegawai Komunikasi dan Korporat yang mewakili pihak MAINPP. Turut hadir ialah wakil daripada Jawatankuasa Masjid Jamek Nurul Hidayah Sungai Lokan yang menjadi penerima manfaat wakaf ini.
 
Penyerahan sijil ini menandakan pengiktirafan rasmi terhadap wakaf yang telah lama diamalkan secara lisan, sekaligus memastikan tanah tersebut diuruskan di bawah pemilikan MAINPP sebagai wakaf. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh pengurusan aset wakaf di Pulau Pinang, malah menjamin kelestarian kawasan perkuburan Islam untuk kegunaan masyarakat setempat.
 
Sesi penyerahan sijil wakaf pada 12 Disember 2025 merupakan satu detik penting dalam usaha memperkukuh pengurusan wakaf di Seberang Perai Utara. Sumbangan ikhlas Puan Zainab binti Haji Ahmad akan terus memberi manfaat kepada masyarakat Islam setempat, khususnya dalam menyediakan kemudahan perkuburan yang teratur dan sah dari segi pemilikan wakaf.
 
1 2
3 4
5 6