Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA) 2026, yang bakal memberi manfaat kepada 7,403 murid dan pelajar daripada 109 sekolah di seluruh Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, berkata program tersebut melibatkan 71 sekolah rendah dan 38 sekolah menengah, dengan peruntukan berkenaan digunakan bagi membiayai kelas tuisyen, penyediaan modul pembelajaran, seminar akademik, bengkel teknik menjawab peperiksaan serta kem kecemerlangan.
Pelaksanaan program secara berterusan ini bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar, khususnya dalam kalangan golongan asnaf, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“MPDCA yang dilaksanakan sejak tahun 2006 merupakan hasil kerjasama strategik antara MAINPP, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
“Kerjasama ini membuktikan bahawa dana zakat bukan sekadar disalurkan sebagai bantuan kebajikan jangka pendek, sebaliknya turut menjadi satu pelaburan strategik dalam usaha membangunkan modal insan.
“Selaras dengan slogan ‘Transformasi Asnaf Melalui Zakat’, kita berharap program ini dapat membantu golongan asnaf membina kehidupan yang lebih baik, berdikari serta mengubah kehidupan mereka daripada penerima zakat kepada golongan profesional dan seterusnya menjadi pembayar zakat pada masa hadapan,” katanya.
Pelaksanaan MPDCA 2026 mencerminkan komitmen MAINPP dalam memperkasa pendidikan melalui pemanfaatan dana zakat secara strategik, khususnya dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
![]() |
![]() |


