PT Sans | Reset
A A

Perutusan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setinggi–tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas segala rahmat dan berkatnyaa kita dapat berinteraksi di laman sesawang rasmi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Setinggi–tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas segala rahmat dan berkatnyaa kita dapat berinteraksi di laman sesawang rasmi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Sejajar dengan wawasan pembangunan negeri iaitu Penang2030, iaitu meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk, MAINPP telah melaksanakan projek pembangunan wakaf iaitu projek Pembangunan Wakaf Seetee Aisah Fasa 1 dan Pangsapuri Wakaf Mohamed Hashim yang kedua-duanya dibina di Seberang Jaya.

Kedua-dua projek ini telah berjaya meyakinkan banyak pihak rakan strategik antaranya Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak perbankan insitusi kewangan. Projek ketiga iaitu Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah merupakan salah satu hartanah wakaf yang ditawarkan di Pulau Pinang, yang merupakan produk kediaman apartmen 40 tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, meliputi dua jenis keluasan iaitu 950 dan 1,100 kaki persegi.

Projek- projek ini mendapat sokongan penuh KPKT, Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan insitusi kewangan antaranya Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional serta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Pembangunan wakaf ini menjadi keutamaan kepada MAINPP sejak hampir 10 tahun yang lepas dan mejadi rujukan kepada majlis agama Islam negeri-negeri lain dan dijadikan contoh pembangunan wakaf bukan sahaja di Malaysia malahan pembangunan wakaf di Pulau Pinang turut dijadikan contoh dalam kajian antarbangsa untuk diikuti.

Demi memastikan kelancaran tadbir urus MAINPP telah mewujudkan dua entiti anak syarikat iaitu Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.

ZPP yang beribu pejabat di Bandar Perda, Bukit Mertajam diwujudkan untuk menyediakan menyediakan perkhidmatan berkualiti bagi memudahkan urusan pembayaran dan pengagihan zakat secara efisien, telus dan efektif. Bertepatan dengan moto “Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela”, agensi ini beriltizam untuk memperkasa asnaf menerusi skim bantuan zakat yang bukan sahaja mampu memberikan kemudahan kehidupan malah mengubah mereka menjadi pembayar zakat masa hadapan.

Manakala, KITAB adalah lanjutan daripada sebuah Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) yang ditubuhkan oleh MAINPP pada 1995 yang menawarkan Program Diploma Tahfiz Al-Quran dengan kerjasama Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. KITAB memulakan operasi sebagai sebuah IPT pada tahun 2005 berikutan kemajuan dan perkembangan oleh MTQ yang berjaya melahirkan graduan-graduan diploma tahfiz dengan jayanya.

Berperanan mewujudkan pendidikan bersepadu meliputi intelek, rohani dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pembinaan generasi umat dan pembangunan negara. Justeru itu, ia amat selari dengan slogan kata KITAB iaitu:

“Memacu Legasi Tarbiah, Ke Arah Melahirkan Ulul Albab”

Dalam pada itu, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah agensi kerajaan negeri pada tahun 2012 dan ini dikawal selia oleh MAINPP. YIPP telah diberikan mandat bagi melaksanakan dua teras utama iaitu Pembangunan Insan dan Pembangunan Fizikal.

YIPP akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak swasta yang berkaitan untuk membangunkan projek yang memberikan impak tinggi. Bukan itu sahaja, YIPP juga berhasrat untuk menjana pendapatan menerusi kaedah mengoptimumkan penggunaan tanah dan ruang yang bersesuaian.

Pembangunan insan pula akan menyentuh beberapa program antaranya Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Menengah. Program ini adalah sebuah inisiatif Pendidikan Islam kepada pelajar sekolah menengah yang memberi penekanan kepada kemahiran membaca   Al-Quran serta pengamalan Fardhu Ain. Kelas ini digerakkan oleh Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan ditaja oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Zakat Pulau Pinang.

Laman sesawang ini merupakan satu saluran penyebaran maklumat secara elektronik yang boleh diakses dengan cepat, mudah dan telus. Melalui laman web ini juga MAINPP menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam talian (online) bagi mencapai visi iaitu menjadi menjadi sebuah institusi yang unggul berteraskan konsep muamalah Islam demi kesejahteraan ummah.

Akhir kata, kita sangat mengalu–alukan sebarang komen dan pandangan yang membina daripada semua pihak dalam memantapkan lagi pengurusan maklumat dan perkhidmatan yang disediakan di laman ini.

Sekian, wasalam.

YB. DATO' DR. MOHAMAD BIN ABDUL HAMID
Yang Dipertua
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang