Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Salur Bantuan Kewangan Kepada 83 Mahasiswa Pulau Pinang Ke Timur Tengah

Seramai 83 mahasiswa Pulau Pinang yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah telah menyertai Program Karisma Antarabangsa: Taklimat Pengurusan dan Pelepasan Mahasiswa Pulau Pinang ke Timur Tengah Sesi 2026/2027 yang berlangsung di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah pada 6 Ogos 2026.

Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Abd Aziz Tajuddin, Timbalan Yang Dipertua MAINPP, mewakili YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP.

Daripada jumlah tersebut, 44 mahasiswa diuruskan oleh MAINPP, melibatkan 43 orang ke Mesir dan seorang ke Jordan, manakala 29 mahasiswa diuruskan oleh KITAB dan 10 mahasiswa oleh Darul Quran, JAKIM.

Melalui inisiatif pendidikan berasaskan dana zakat ini, kesemua mahasiswa berpeluang memohon Skim Permulaan Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara MAINPP. Pelajar yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima bantuan permulaan sebanyak RM2,500 bagi membantu persediaan perjalanan, kelengkapan pembelajaran dan urusan kemasukan ke institusi pengajian.

Mulai tahun 2027, mahasiswa yang diuruskan MAINPP turut menerima pendahuluan dermasiswa RM4,000 bagi pengajian di Mesir dan RM6,000 bagi pengajian di Jordan, dengan baki dermasiswa disalurkan berdasarkan keputusan peperiksaan dan pencapaian akademik.

Inisiatif ini selaras dengan Teras Pendidikan APAI2030 dalam usaha memperkasa pendidikan serta melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berintegriti yang mampu menyumbang kembali kepada agama, masyarakat dan Negeri Pulau Pinang.

Semoga segala urusan para mahasiswa dipermudahkan, dikurniakan keselamatan dan kejayaan dalam pengajian serta kembali ke tanah air sebagai graduan yang berilmu, berwibawa dan bersedia berkhidmat kepada ummah.

Transformasi Asnaf Melalui Pendidikan

1 2
3 4
5 6